ARKIB BERITA

MANFAAT BEKAM WAJAH

LIVE-FEMININ @ RTM1 PADA 24 DECEMBER 2014 930AM-10AM

_________________________________________________________________

BEKAM BUANG DARAH KOTOR GANTI ANTIBODI BARU



MAJALAH MIDI BIL. 189 15 JULAI 2014
RAWATAN ALTERNATIF
TEKS & FOTO: NORASIDA MOHAMAD YASIN
LOKASI: PUSAT TERAPI SYIFA, 13B JALAN PLUMBUM Q7/Q, SEK. 7 SHAH ALAM, SELANGOR



Bekam boleh merawat pelbagai penyakit secara umum dan khusus, antara penyakit yang boleh dirawat dengan menjalani proses bekam termasuklah penyakit seperti darah tinggi, diabetes, asma, migrain, stres, nyeri, gout, stress, kebas, strok, lemah, lesu, sukar tidur, gangguan sihir dan banyak lagi.

PROSES DETOKS

"Detoksifikasi, istilah yang digunakankan untuk proses pengeluaran darah kotor melalui rawatan bekam.  Melalui rawatan ini segala bahan toksin (bahan beracun) dan sel darah merah yang mati dari dalam tubuh badan.  Sebenarnya sel hayat sel darah merah dalam tubuh hanya empat bulan sahaja.  Selepas tempoh ini, ia akan mati dan sel mati ini akan meresap ke lapisan kulit.

"Semasa proses bekam, sel mati akan dikeluarkan bersama darah kotor melalui tusukan jarum halus pada kulit dan segera digantikan dengan sel antibodi yang baru.  Disebabkan tusukan jarum ini dilakukan pada titik akupunktur maka ia segera respons pada sistem saraf yang secara tidak langsung mengalirkannya kepada organ-organ lain dalam tubuh.  Maka dengan sendirinya organ-organ ini turut dilindungi oleh antibodi daripada virus pathogen yang sering dikaitkan sebagai penyebab utama kebanyakan penyakit.  Masa yang sama tusukan jarum bekam yang halus ini berupaya mengeluarkan sel darah kotor ke permukaan kulit.

RANGSANG SEL ANTIBODI

"Mengeluarkan darah kotor dan merangsang sel antibodi baru inilah yang dikatakan proses 'Penyembuhan'.  Inilah yang dinamakan mukjizat perubatan sunnah kerana saranan Rasulullah SAW dalam kaedah perubatan sudah pastinya ada jaminan kesembuhan daripada Allah SWT," ujar Ustaz Khairul Aswat Abdul Rahman yang hanya melakukan bekam pada pesakit lelaki, untuk wanita jurubekam wanita yang akan melakukannya.

Menurut Ustaz Aswat, setiap pesakit yang datang ke pusat rawatan, mereka akan mengadakan sesi kaunseling dan suai kenal dengan pesakit terlebih dahulu bagi menghilangkan rasa takut dan mendapatkan sedikit input penyakitnya.

"Selepas itu baru saya lakukan scan batin ke atas pesakit untuk mengenal pasti masalah sebelum mengesyorkan rawatan yang sesuai.  Sebelum memulakan rawatan, saya akan minta pesakit bertenang, pejamkan mata sambil banyakkan beristighfar dan bersyahadah sambil saya akan melakukan rukyah (membacakan beberapa ayat suci Al-Quran) untuk memastikan ada gangguan sihir atau tidak."

"Darah kotor dan angin yang dikeluarkan dari badan melalui bekam ini mengandungi urik asid, lemak, kolesterol dan toksin.  Melalui tekstur darah juga boleh dikenali pasti jenis penyakit yang dihidapi.  Contoh warna darah kehitaman (banyak urik asid dan toksin), pekat bertali dan berlendir (gangguan sihir, banyak lemak dan kolesterol) dan darah berbuih atau cup berwap (banyak angin)."

"Mengikut sunnah kita disarankan berbekam sebulan sekali atau sekurang-kurangnya empat bulan sekali kerana dengan mengeluarkan sel darah kotor ini sel mati akan digantikan dengan sel baru yang menguatkan sistem antibodi tubuh.


Proses bekam juga boleh dilakukan lapan kali dalam satu masa, tetapi jika pesakit fobia, cukup dengan dua kali, begitu juga dengan kanan-kanak, cukup dua kali sahaja," ujarnya lagi.

Bekam darah dilakukan untuk keluarkan darah kotor dan angin dari badan yang mengandungi urik asid, lemak, kolesterol dan toksin.  Selalunya darah yang keluar adalah seperti:

Warna kehitaman - banyak urin asid dan toksin.
Pekat, bertali atau berlendir - banyak lemak dan kolesterol.
Berbuih atau cup bekam berwap - banyak angin.


NOTA:
  • Pesakit dinasihatkan untuk berpuasa 3-4 jam sebelum proses berbekam dan rehat 1-2 jam dari tidur, makan dan mandi.
  • Jika ada gangguan sihir, pesakit disarankan mandi ais.
  • Pesakit digalakkan mengambil Habatussauda, minyak zaitun dan madu lebah.
  • Proses bekam menggunakan teknik tusukan jarum bukan torehan pisau.
  • Setiap titik akupunktur yang dibekam ada dikaitkan dengan penyakit-penyakit tertentu.
_________________________________________________________________

KELEBIHAN BEKAM WAJAH

WHI-WANITA HARI INI TV3 PADA 14 MAC 2013


Image result for BEKAM WAJAH

Assalamualaikum...

Semalam Khamis 14 Mac 2013, saya telah menerima jemputan oleh WHI-Wanita Hari Ini TV3 untuk segmen "KELEBIHAN BEKAM WAJAH".  Jutaan terima kasih kepada pihak TV3 yang telah membuka ruang dan peluang kepada kami.

Terima kasih juga kepada Pengacara WHI-Wanita Hari Ini TV3 iaitu Teh Syuhaida Sharip dan rakan sejawatnya Nor Azzura Azizul Azman kerana berjaya mengetengahkan kaedah bekam sunnah Rasulullah SAW kepada masyarakat dan mendalami topik ini dengan lebih mendalam.  Untuk info lanjut sila klik link di bawah ini.

tonton-home-shows-talk_show-wanita hari ini 2013 - Wanita Hari Ini 2013
_________________________________________________________________


BEKAM KECANTIKAN: BANTU WAJAH KUSAM KEMBALI BERSERI



MINGGUAN WANITA BIL: 1526 PP4404/07/2013(033272)
15 - 21 FEBRUARI 2013 / 04 - 10 RABIULAKHIR 1434 H
KELOLAAN: INTAN ROHAIZAT ZAKARIYA
FOTO: MOHD NASARUDIN TALKAH
LOKASI: PUSAT TERAPI SYIFA, 13B JALAN PLUMPUM Q7/Q, 40000 SHAH ALAM, SELANGOR

BEKAM KECANTIKAN: Bantu Wajah Kusam Kembali Berseri

Stres, penat, pencemaran dan kesibukkan antara faktor menyebabkan wajah wanita menjadi kusam serta lesu.  Wajah sebegini sedikit sebanyak membuatkan seseorang hilang keyakinan diri dan kurang bersemangat.  Sudah semestinya, ia juga memberi gambaran imej yang tidak begitu baik kepada orang di sekeliling.  Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh mencuba bekam kecantikan.  Rawatan ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat memandangkan kesannya amat memuaskan.

Seorang jurubekam wanita di Pusat Terapi Syifa, Noor Faizah Ismail, 33, memberitahu rawatan bekam kecantikan dikatakan dapat membantu mereka yang menghadapi masalah kulit wajah.  Antaranya jerawat, resdung dan wajah yang kusam.  Selain itu, rawatan ini dikatakan amat sesuai dilakukan buat bakal pengantin kerana ia dapat menaikkan seri dan membuatkan wajah lebih bersih menjelang hari bahagia.

"Rawatan ini boleh dilakukan kepada sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak yang berusia 10 tahun ke atas.  Pelanggan dinasihatkan berpuasa satu hingga dua jam sebelum melakukan rawatan.  Ia bertujuan mengeluarkan darah kotor semaksimum yang boleh dan tubuh dapat fokus sepanjang rawatan.  Pengambilan makanan menyebabkan tubuh kita sibuk menghadam makanan dan mengganggu proses pengeluaran darah kotor.

Ada banyak faktor menyebabkan darah kotor, antaranya pengambilan makanan berlebihan, tabiat makanan tidak sihat seperti suka makanan berminyak, alahan kepada kekacang atau makanan laut, alahan kepada produk kecantikan, stres dan resdung.  Selain rawatan, kami juga memberi informasi agar pelanggan boleh elakkan amalan yang tidak sihat," katanya.

Dalam temubual itu, Noor Faizah atau mesra dengan sapaan Nott menasihati pelanggan mendapatkan rawatan bekam pada hari cuti serperti hujung minggu atau cuti seperti hujung minggu atau cuti panjang.  Katanya, selepas berbekam kesan di bahagian muka pelanggan akan mengambil masa berbeza-beza untuk beransur pulih seperti sediakala.

"Ada yang pulih selepas tiga hingga lima hari, paling lama pun tujuh hari sahaja.  Setiap orang kesannya berbeza mengikut tahap serius masalah yang dihidapi.  Pelanggan juga dinasihatkan supaya tidak mengambil minuman yang berkafein dan mengurangkan pengambilan makanan laut, daging, ayam, belacan, makanan berminyak, bersantan serta bergoreng sekiranya mahu rawatan ini berkesan."

Langkah demi langkah rawatan bekam wajah

Rawatan ini menggunakan kaedah bekam darah.  Bahagian muka yang bermasalah akan dibekam dengan menggunakan alatan bekam yang mempunyai pelbagai saiz mengikut kesesuaian muka pelanggan.  Proses rawatan bekam hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit.  Berikut adalah langkah demi langkah rawatan bekam kecantikan wajah.
  1. Wajah pelanggan akan disapukan dengan sedekit minyak zaitun supaya kulit menjadi lembut dan dapat mengelakkan rasa pedih ketika dibekam.
  2. Bahagian muka yang bermasalah akan diletakkan cup bekam yang telah disteril terlebih dahulu.  Cup akan di pam beberapa minit bagi merangsang darah kotor keluar ke permukaan kulit muka.
  3. Cup akan dibuka dan kulit muka dicucuk dengna pen bekam yang menggunakan jarum pakai buang.
  4. Kemudian, cup akan dipamkan semula untuk mengeluarkan darah kotor.  Proses pengeluaran darah kotor mengambil masa antara tiga hingga lima minit.  Rarah kotor yang keluar selalunya berwarna hitam, berlendir, bertali atau berbuih.
  5. Langkah 1 hingga 4 akan diulang sekali lagi bagi memastikan pengeluaran darah kotor yang maksimum.
Apa kata pelanggan (Wan Ashmaliana Wan Abdullah, 27)
..."Saya mengalami masalah kulit wajah berjerawat, selepas melakukan bekam kecantikan kulit beransur licin.  Wajah dan badan juga berasa lebih segar serta ringan.  Saya gembira dengan hasilnya dan akan terus melakukan rawatan bekam."...

Tip
  1. Pelanggan hanya boleh makan, mandi dan tidur selepas satu jam berbekam.  Ia bagi merehatkan sistem darah di bahagian badan dan mengelakkan kulit muka dariapda berasa pedih. 
  2. Pelanggan yang mempunyai masalah diabetes atau kencing manis perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan bekam.
Kelebihan bekam kecantikan
  1. Menaikkan seri wajah
  2. Mengatasi masalah wajah kusam
  3. Menghilangkan kelesuan
  4. Membantu mengatasi masalah jerawat
  5. Membantu merawat masalah resdung
  6. Dikatakan mampu membuatkan pelanggan lebih fokus kepada pelajaran, kerjaya mahupun rumahtangga.
_________________________________________________________________

GURAH MENCUCI SUARA

30 September 2012   Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
LEBIHAN lendir menyempitkan rongga hidung seterusnya mengganggu kelancaran pernafasan dan penghasilan suara dengan sempurna.

DALAM perubatan tradisional, ada beberapa kaedah pengubatan yang berupaya mengeluarkan toksin secara langsung daripada tubuh sekali gus membuatkan pesakit berasa lega. Antaranya rawatan bekam, resdung dan gurah.

Mungkin ramai yang sudah biasa mendapatkan rawatan resdung dan pernah mendengar ataupun melihat sendiri cara berbekam, namun, rawatan gurah memang jarang-jarang diperkatakan.

Menurut seorang pengamal perubatan gurah, Muhammad Razali Ahmad, 37, kaedah rawatan ini dapat mengeluarkan semua lendir yang ada di hidung dan kerongkong supaya nafas menjadi lebih panjang dan lunak.

“Rawatan ini turut dikenali sebagai rawatan cuci suara. Selain membersihkan hidung dan kerongkong, ia juga dapat menyelesaikan masalah resdung dan simptom kerap bersin terutamanya pada waktu pagi.

“Bagi yang kerap berdengkur, rawatan ini turut membantu pelanggan mengurangkan dengkuran bagi mendapatkan tidur yang lebih berkualiti.

“Begitupun, buat pelanggan yang mahu mengurangkan dengkuran, mereka perlu menjalani rawatan lebih kerap berbanding pesakit biasa, lama-kelamaan, insya-Allah, masalah dengkur mereka akan beransur hilang,” kata Muhammad Razali.

Menurutnya, kaedah rawatan yang menggunakan titisan air rebusan akar kayu terpilih itu biasanya mengambil masa selama 45 minit untuk selesai.

“Pelanggan akan diminta berbaring sebelum air rebusan akar kayu dititiskan ke dalam hidung.

“Dalam masa seminit, tekak pesakit akan berasa sedikit pedih sebelum dia diminta duduk dengan memegang sebuah baldi kecil.

“Beberapa saat kemudian, pesakit secara automatik memuntahkan lendir berwarna putih jernih daripada hidung dan mulut.

“Bagi yang tidak pernah membuat rawatan gurah, ibu kerak yang berwarna kekuningan seperti nanah dan sedikit berbau juga akan keluar bersama,” ujar Muhammad Razali lagi.

Dengan bayaran RM50 bagi sekali rawatan, lendir yang dikeluarkan pesakit akan dipastikan benar-benar bersih sebelum sesi tersebut dianggap selesai.

Antara pelanggan yang sering mendapatkan khidmat gurah terdiri daripada kalangan artis, qari, qariah dan bilal.

Lancar

“Selepas rongga dibersihkan, lontaran suara anda akan berasa ringan serta mantap. Kaedah ini juga mampu merawat penyakit suka berkahak dan resdung yang kerap bersin pagi,” ujar Muhammad Razali.

Katanya lagi, apabila terlalu banyak lendir di dalam kerongkong dan rongga hidung, saluran pernafasan menjadi sempit. Bayangkan jika lendir itu sudah berkumpul di situ bertahun-tahun lamanya, pasti sedikit sebanyak ia menjejaskan fungsi rongga yang dahulunya lapang.

Walaupun tidak memberi kesan sakit secara langsung, kehadiran lambakan lendir di kawasan tersebut mengganggu kelancaran pernafasan dan suara.

“Kebanyakan pelanggan yang datang mendapatkan rawatan di sini sering mengadu sukar untuk menarik suara dalam nada tinggi ataupun panjang.

“Biasanya apabila sudah terlalu banyak lendir, tidak banyak angin yang boleh memasuki rongga hidung dan kerongkong. Keadaan ini menyebabkan dada cepat mengah dan suara mudah ‘tersepit’.

“Seperti meniup belon, bila kita tiup, ia mampu menyimpan banyak angin, jika kita lepaskan, pengaliran udara yang keluar juga lancar, tetapi jika kita kepitkan jari di mulut belon, pastinya angin susah nak keluar dan bunyinya juga membingitkan telinga, begitu juga kaitan antara rongga yang luas, udara dan suara,” jelas 
Muhammad Razali panjang lebar.

Walaupun banyak manfaat rawatan pembersihan kerongkong dan rongga hidung ini, pelanggan tidak digalakkan melakukannya secara kerap.

“Paling ideal, ia dilakukan tiga bulan sekali. Jika terlalu kerap, lendir belum banyak terkumpul. Dikhuatiri proses pembersihan tersebut akan memedihkan rongga hidung pula,” ujarnya yang belajar mengendalikan rawatan gurah daripada seorang pakar gurah di Pahang.

Biarpun kaedah rawatan ini nampak mudah, Muhammad Razali tidak menggalakkan pelangannya melakukan proses pembersihan lendir ini sendirian di rumah.

“Jika tidak kena teknik memasukkan air rebusan kayu itu tadi, mungkin rawatan ini tidak menjadi,” katanya yang menyediakan rawatan untuk pesakit lelaki sahaja.
_________________________________________________________________

BEKAM SIHIR

1 July 2012
BAHAGIAN kepala dan tengkuk akan dibekam bagi mengurangkan kesan sihir.

SEJARAH rawatan berbekam yang dimulakan sejak ribuan tahun dahulu sering dikaitkan sebagai kaedah terbaik untuk mengeluarkan darah kotor yang menjadi punca pelbagai penyakit.

Hari ini, berbekam semakin popular kerana manfaatnya didakwa berkesan membantu mengurangkan bisa penyakit gout, migrain dan sakit belakang.

Terbaru, kaedah rawatan Islam ini dikatakan berupaya menangani gangguan sihir.

Menurut perawat bekam di Pusat Terapi Syifa, Ahmad Husin, 36, bekam sihir boleh dilakukan di semua titik yang dipanggil Thibbun Nabawi. Selain itu, bekam juga boleh dilakukan di titik sendi badan.

"Fungsi berbekam jenis ini ialah untuk mengeluarkan endapan sihir atau darah kotor akibat gangguan jin yang bergerak melalui saluran darah manusia.

"Untuk mengatasi gangguan sihir, bahagian yang wajib dibekam ialah kepala dan tengkuk. Bahagian tubuh yang lain dibekam mengikut keperluan, bergantung pada jenis sihir.

"Berdasarkan pengalaman saya, pesakit yang menghidap sihir kerana urusan kerja, dadanya akan sakit.

"Mangsa sihir rumah tangga pula sakit di pinggang manakala mangsa akibat sihir pelaris, mereka terpaksa berdepan dengan kesakitan yang teruk di kaki pada waktu tertentu," ujar Ahmad.

Selama dua tahun mempraktikkan bekam sihir, Ahmad berkata, kaedah rawatan yang disertai amalan bacaan ayat-ayat rukyah itu dapat mengurangkan pengaruh gangguan sihir terhadap pesakit.

"Sebelum memulakan rawatan, perawat perlu membaca ayat Kursi disusuli dengan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas bagi mengelak aura sihir daripada badan pesakit berpindah ke tubuh perawat.

Sihir berjangkit 

"Kebanyakan perawat bekam sihir di pusat ini pernah menerima tempias ilmu sihir daripada pesakit sehingga ada yang serik untuk menjadi perawat lagi," katanya.

Ditanya tentang bentuk gangguan yang diterima, Ahmad memberitahu, ada perawat yang mengalami bisa-bisa badan, demam, hilang semangat dan mendapat mimpi yang kurang baik.

Berpeluang melihat proses rawatan bekam sihir ke atas seorang pesakit, dapat disimpulkan bahawa teknik berbekam sihir dan bekam darah tiada bezanya melainkan pesakit disarankan mengamalkan ayat-ayat rukyah.

"Kaedah bekamnya sama sahaja. Dengan menggunakan sarung tangan getah, perawat akan mengenal pasti urat yang betul sebelum menekapnya dengan cawan bekam yang telah disteril bagi menjamin kebersihan dan pembasminan bakteria serta virus secara maksimum.

"Setelah itu, barulah kawasan tersebut dicucuk dengan jarum pakai buang yang dikhaskan untuk berbekam.

"Proses sedutan darah biasanya dilakukan sebanyak dua hingga tiga kali bagi memaksimumkan pengeluaran darah kotor," ujar Ahmad.

Darah berwarna merah gelap yang berketul-ketul seperti jeli itu dikatakan mengandungi toksik, asid urik, kolesterol, angin, sel darah merah yang rosak dan juga unsur gangguan jin.

Pada akhir rawatan bekam, darah kotor akan dibersihkan dan kawasan bekam disapu dengan kapas beralkohol untuk menyahkan kuman.

"Selepas berbekam, pesakit akan terus terasa segar dan bertenaga kerana badan jadi ringan akibat pembuangan toksik daripada badan.

"Ia juga boleh mengurangkan 50 hingga 60 peratus gangguan sihir dalam badan kerana jin hanya akan bergerak mengikut aliran darah yang kotor.

"Jika darah yang kotor dibuang, Insya-Allah gangguan sihir dapat dikurangkan malah dihapuskan secara berperingkat," ujar Ahmad.

Ditanya mengenai pantang larang sebelum menjalani rawatan bekam sihir, dia menjawab, pesakit dianjurkan berpuasa sehari sebelum temu janji bekam. Jika tidak berpuasa, pastikan perut dikosongkan dua jam sebelum berbekam.

Selepas berbekam pula, pesakit nasihatkan tidak makan dan tidur selama dua jam.

"Rawatan bekam adalah sunah Rasulullah untuk mengubati 93 jenis penyakit klinikal selain gangguan jin.

"Bagi yang sihat tubuh, saya mengesyorkan mereka menerima rawatan bekam sunah ini sebulan sekali manakala bagi yang berpenyakit sama ada klinikal mahupun gangguan jin, rawatan perlu disusuli seminggu sekali sehingga sembuh," jelasnya.
_________________________________________________________________

HALAU JIN PAKAI CD



Ahad 27 Mac 2011   Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
 
AHMAD menyifatkan ayat-ayat Rukyah sebagai menenangkan minda, penerang hati dan membersihkan aura diri.

RUTIN harian Ahmad Husin, 35, seperti insan biasa lain. Usai bersarapan, pemegang Diploma Teknologi Maklumat dari sebuah kolej tempatan ini bingkas bangun melayan pesakit yang bertandang ke premisnya yang terletak di hadapan Masjid Jumhuriyah, Taman Dato’ Haron, Petaling Jaya, Selangor.

“Ada rasa sakit kepala, dada, tulang belakang atau rusuk selepas waktu Asar?” soalnya pada pesakit lelaki berusia lewat 40-an itu.

Tebak Ahmad lagi setelah jawapan negatif diberikan, selalukah mendapat mimpi dipatuk ular, jatuh dari tempat tinggi atau berada di lokasi sunyi dan kotor?

Juga negatif jawapan pesakitnya, Ahmad menggunakan pula pendekatan refleksologi untuk mengesan gangguan jin dengan cara memicit telapak tangan, lengan, ibu jari kaki dan pelipat lutut.

Oleh kerana kesemua lokasi yang ditekan tidak meninggalkan sensasi mencucuk seolah-olah renjatan elektrik, pesakit tadi disahkan bebas daripada gangguan jin atau sihir.

“Mungkin rasa sakit-sakit dan lenguh badan ini disebabkan kecederaan lampau,” ujarnya menyampaikan resolusi.

Pengalaman selama lima tahun Ahmad dan keberkesanan rawatan terapi al-Quran membuatkan Ahmad dipercayai pesakit.

Menurutnya, terapi yang berteraskan Rukyah Assyariah iaitu ayat tertentu daripada al-Quran dan doa yang selari dengan syariat ini bukan bidang baru dalam perubatan Islam.

Memperoleh ilmu daripada gurunya di Kedah, Ustaz Abdul Malik Lazim, Ahmad berkata membacakan ayat-ayat Rukyah kepada pesakit adalah kaedah yang paling afdal dalam menyingkirkan jin daripada tubuh seseorang.

Panas

“Semasa dibacakan 20 ayat Rukyah, pesakit diminta memejamkan mata dan mendengar dengan tenang tetapi tidak dibenarkan mengikut bacaan tadi bagi memastikan ayat tersebut ‘masuk’ ke dalam badan.

“Selepas itu, hembus ubun-ubun pesakit begitu juga dua botol air mineral bersaiz besar yang disediakan pesakit setiap kali datang berubat,” katanya.

Tambah Ahmad, sebotol air tersebut perlu diminum pesakit selama tujuh hari manakala sebotol lagi dibuat mandi.

Ahmad menyifatkan semua gangguan jin sebagai satu bentuk sihir. Antara simptom terkena gangguan jin ialah pesakit akan kerap bersendirian, menangis, tubuh menggeletar, meracau, badan bertukar panas, terdapat seperti sesuatu bergerak di bawah lapisan kulit dan pitam.

Oleh sebab itulah, apabila anggota badan pesakit yang mendapat gangguan jin disentuh, lokasi jin melekat akan terasa panas dan menjadi keras.

Kekuatan serangan jin ke atas manusia berbeza-beza dan akan menjadi-jadi sekiranya kaedah menghalaunya berbaur syirik.

Jin berupaya masuk ke dalam badan seseorang menerusi liang roma atau anggota badan yang berongga.

“Tidak kiralah sama ada melalui rongga badan yang besar seperti hidung, telinga, mulut dan kemaluan, jin juga berupaya merasuk manusia menerusi liang peluh,” bicaranya.

Sehubungan itu, Ahmad menyarankan setiap premis ‘dipagar’ dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi mengelakkan diganggu atau membuang sihir yang sedia ada.

“Laungkan azan di tengah-tengah premis atau rumah dengan menghadap ke arah kiblat dan renjiskan kawasan sekitar dengan air bacaan ayat Kursi,” katanya.

Ahmad turut mengesyorkan agar tiada gambar hidup digantung di dalam premis kerana gambar itu ibarat magnet yang menarik jin untuk singgah ke dalamnya.

“Simpanlah gambar di dalam album sahaja,” cadang Ahmad.

Dalam pada itu, terapi audio turut digunakan Ahmad dalam merawat pesakit yang terkena gangguan jin.

“Cakera padat (CD) yang mengandungi bacaan ayat-ayat Rukyah boleh dipasang setiap hari selama sebulan untuk mencegah daripada terkena sihir,” tegasnya.

Kereta

Amalan mendengar CD Rukyah di dalam kereta bagaimanapun tidak digalakkan kerana dikhuatiri membahayakan pemanduan.

“Jika badan kita kemungkinan mempunyai gangguan jin, ia akan menyebabkan seseorang mengantuk dan mengundang berlaku kemalangan,” katanya yang tidak menolak amalan memasang CD di dalam kereta bagi individu normal yang tidak diganggu jin.

Ahmad turut menjelaskan tiada halangan untuk seseorang merawat gangguan jin secara persendirian berbekalkan bacaan ayat-ayat Rukyah.

“Kes gangguan ringan bolehlah dibuat sendiri dengan cara memasang CD ayat-ayat Rukyah bersebelahan dengan tiga botol air mineral yang dibuka penutupnya.

“Setelah selesai, minum air tersebut sebanyak tiga kali setiap hari sehingga habis,” ujarnya.

Tambah Ahmad lagi, pelbagai manfaat diperoleh menerusi amalan membaca ayat-ayat Rukyah.

“Ayat-ayat Rukyah sifatnya menenangkan minda, penerang hati dan membersihkan aura diri.

“Selain itu, ayat-ayat ini mampu mengurangkan pendarahan berpanjangan bagi wanita yang mengalami istihadah,” ungkapnya.

No comments:

Post a Comment